Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Barisan Nasional (BN) Melaka menggesa pihak berkuasa memperincikan secara jelas prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

AB Rauf (kanan) beramah mesra dengan Zainal (dua kiri) dan Mas Ermieyati (kiri) ketika tiba di Pusat Penamaan Calon di Bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara. FOTO Bernama
AB Rauf (kanan) beramah mesra dengan Zainal (dua kiri) dan Mas Ermieyati (kiri) ketika tiba di Pusat Penamaan Calon di Bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara. FOTO Bernama

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, SOP diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kesukaran kepada jentera dan calon, apatah lagi ketika ini, Melaka sudah memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"SOP tidak berapa jelas. Kita tidak mahu hasilkan SOP yang membolehkan jentera melanggar undang-undang. Agensi yang terbabit lebih baik beri SOP jelas, sebab Melaka sudah masuk fasa empat dan rakyat bebas berjalan.

"Kita dalam fasa empat. Kalau orang duduk kedai dari pagi sampai petang boleh tak? Itu pun sebenarnya boleh jadi satu kaedah berkempen. Duduk kedai kopi boleh, kenapa kempen tak boleh.

"Masyarakat sudah terima dos vaksin. Boleh saja laksana kempen terutama kepada mereka yang sudah lengkap vaksin. Tolong perinci SOP ini semula," katanya pada sidang media di kediamannya di Masjid Tanah, hari ini.

Beliau juga mengakui kempen PRN kali ini perlu melalui kaedah dan norma baharu, namun berharap ia tidak melunturkan semangat demokrasi dalam kalangan parti politik yang bertanding.

"PRN norma baharu yang dilaksana mengikut kaedah dan peraturan yang kita tidak pernah terima pun kaedahnya. Ini langkah awal untuk melihat bagaimana kita menerima SOP untuk jalankan pilihan raya dan menzahirkan untuk rakyat menerima norma baharu dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Srikandi Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pula berkata, cabaran besar sudah pasti dihadapi calon muka baharu yang kurang dikenali untuk bertemu rakyat dan pengundi.

"Cabaran besar adalah untuk calon baharu sebab mereka perlu perkenalkan diri lebih banyak.

"Saya harap media buat 'coverage' untuk calon-calon baharu. Kelebihan memang kepada mereka yang pernah bertanding sebab sudah dikenali," katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Ab Rauf dan Mas Ermieyati bertanding dalam PRN Melaka di kerusi DUN Tanjung Bidara.

SPR hari ini memberikan garis panduan kempen kepada setiap calon yang bertanding dalam PRN Melaka, termasuk membabitkan pergerakan jentera sepanjang kempen PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:34 PM