MAS Ermieyati meneliti poster pilihan raya beliau. FOTO Hassan Omar.
MAS Ermieyati meneliti poster pilihan raya beliau. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Istilah pertembungan 'The King and The Queen' yang diberikan dalam pertarungan sengit di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menjadikan lokasi Pantai Tanjung Bidara, di sini, dikenali ramai.

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, beliau secara peribadi tidak menyifatkan istilah itu sebagai benar kerana hakikatnya pertarungan di kerusi berkenaan sama seperti kerusi lain.

Bagaimanapun, beliau mengakui istilah itu secara tidak langsung menaikkan imej Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan yang menarik, terutama pantai yang indah di Perigi Lawa di Kampung Balik Batu.

"Sebenarnya antara saya dengan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (calon Barisan Nasional) hanya pertembungan biasa, tetapi atas istilah atau gelaran itu menjadikan tempat ini popular.

"Bagaimanapun, ia adalah promosi yang baik untuk Tanjung Bidara kerana daripada orang tidak tahu, sekarang sudah tahu," katanya ketika ditemui meninjau operasi Bilik Gerakan PN di Kampung Padang Kemunting, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, kebanyakan pihak menjangkakan pertarungan sengit antara beliau dengan Ab Rauf, tetapi seolah-olah terlupa seorang lagi calon daripada Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

"Bukan pertandingan dua penjuru di sini, sebaliknya tiga. Mungkin disebabkan saya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, ada pihak memberi gelaran itu (The Queen)," katanya.

Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini diwakili Datuk Wira Md Rawi Mahmud yang menang dengan majoriti 2,864 undi selepas menewaskan Datuk Halim Bachik (PKR) dan Imran Abdul Rahman (PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mas Ermieyati, 45, adalah bekas Ketua Puteri Umno dan keluar daripada parti itu pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas PRU-14 sebelum mengemukakan borang keahlian Bersatu kepada Pengerusi Bersatu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 5:35 PM