GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) siap dilaksanakan pada 12.30 tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat pada 4.30 pagi ini kepada pengguna di 13 kawasan terjejas setelah paras kolam air agihan distabilkan dan kualiti air mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam esok (11 November)," katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, 13 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.

Air Selangor berkata, tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini," menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 10:43 AM