KERJA membaik pulih paip pecah sedang dijalankan. FOTO Ihsan FB Air Selangor.
KERJA membaik pulih paip pecah sedang dijalankan. FOTO Ihsan FB Air Selangor.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dekat sini yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 13 kawasan mencapai tahap 19 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, sehingga 3 petang hari ini kerja pembaikan sedang giat dijalankan.

"Kami akan memaklumkan perkembangan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bantuan bekalan melalui lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan terjejas.

Terdahulu, media melaporkan 13 kawasan di Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat insiden paip pecah di Jalan MRR2.

Air Selangor dilaporkan berkata, pihaknya terpaksa menutup bekalan air pada 11.30 pagi untuk melaksanakan kerja pembaikan.

Katanya, sasaran awal kerja siap adalah pada 11.30 pagi esok.

Kawasan terbabit adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 5:17 PM