Zulkifli Wahijan (tengah) bersama artis, selebriti dan pendakwah pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan ‘Care4Afghan’  di Hotel Tamu Kampung Baru.
Zulkifli Wahijan (tengah) bersama artis, selebriti dan pendakwah pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan ‘Care4Afghan’ di Hotel Tamu Kampung Baru.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Selain bantuan mendesak makanan dan pakaian musim sejuk, sebanyak 55 telaga yang berupaya membekalkan air bersih bakal dibina Muslim Care Malaysia (MCM) di negara bergolak Afghanistan.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, sumbangan itu adalah antara usaha MCM bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Yayasan Amal Malaysia dan Yayasan Isra' Malaysia dalam membantu berjuta rakyat negara itu yang menderita kini.

Beliau berkata, pihaknya meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM2 juta menerusi Tabung Kemanusiaan Afghanistan 'Care4Afghan' yang diwujudkan sejak awal bulan lalu.

"Alhamdulillah, kami kini berjaya mengutip sumbangan RM1 juta bagi fasa pertama tabung kemanusiaan untuk rakyat Afghanistan yang akan disalurkan dalam masa terdekat.

"Bantuan hasil keprihatinan rakyat Malaysia ini turut membabitkan pembinaan sebuah masjid dan sekolah empat tingkat yang akan mula dibina minggu hadapan," katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan 'Care4Afghan' di Hotel Tamu Kampung Baru di sini, tadi.

Hadir sama pada majlis itu adalah Duta Muslim Care Malaysia, Heliza Helmi serta selebriti yang lain seperti Hafiz Hamidun, Hazwani Helmi, Marc Sadique dan Fakhrul UNIC.

Zulkifli berkata, kempen berkenaan adalah salah satu inisiatif Muslim Care Malaysia (MCM) untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat Afghanistan disertai artis, selebriti, pendakwah dan 'influencer' media sosial tanah air.
"Usaha digembleng itu turut mendapat sokongan pendakwah terkenal antaranya Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre," katanya.

Menurutnya, bantuan kemanusiaan untuk rakyat Afghanistan amat mendesak berikutan bantuan luar termasuk dari

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar disalurkan kepada rakyat negara itu.

"Lebih 22 juta rakyat Afghanistan bakal menghadapi krisis makanan serius pada musim sejuk yang akan bermula tidak lama lagi.

"Keadaan kini menjadi tidak menentu sejak ibu negeri Afghanistan, Kabul, diambil alih Taliban pada 15 Ogos lalu diikuti pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara bergolak itu.

"Paling dibimbangi apabila saudara kita di sana bakal mengalami krisis kemanusiaan terburuk dunia berskala lebih besar daripada dihadapi Yaman atau Syria," katanya.

Menurutnya, kurangnya pendedahan media antarabangsa menyebabkan masyarakat dunia tidak mendapat maklumat sebenar berhubung penderitaan dialami penduduk termasuk jutaan kanak-kanak di Afghanistan.

Susulan itu, katanya Muslim Care Malaysia Society mula menjalankan kempen kesedaran terhadap isu Afghanistan dengan mengadakan sesi webinar mengenai keadaan terkini negara itu.

Sumbangan untuk rakyat Afghanistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://toyyibpay.com/TABUNG-KEMANUSIAAN-AFGHANISTAN atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323, Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar di talian 0134886447 atau Zuriati Ya'akob di talian 0192049434.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:53 PM