Seramai 14 peserta misi Kembara Ramadan Afghan anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO ASWADI ALIAS.
Seramai 14 peserta misi Kembara Ramadan Afghan anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO ASWADI ALIAS.
Oleh Amir Abd Hamid


Sepang: Seramai 14 peserta misi Kembara Ramadan Afghan anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.30 malam hari ini.

Perjalanan ke Afghanistan akan transit di Doha, Qatar menggunakan penerbangan Qatar Airways sebelum masuk ke negara diperintah Taliban itu melalui laluan dari Iran.

Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, misi kali ini atau dikenali Care4Afghan 2.0 adalah kesinambungan daripada misi pertama pada November lalu.

"Menyedari hakikat rakyat Afghanistan terbelenggu dengan perang selama empat dekad memerlukan bantuan, MCM tampil membantu dengan sumbangan rakyat Malaysia.

"Tambahan pula kali ini berlangsung dalam bulan suci Ramadan.

"Antara pengisian adalah iftar Ramadan dan penyampaian bakul makanan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, Zulkifli berkata, mereka juga akan meneruskan program memperkasa wanita Afghanistan selepas dilaksana pada misi pertama, menerusi latihan kemahiran jahitan.

MCM juga dalam usaha membangunkan masjid Malaysia pertama di Kabul.

"Untuk projek bekalan air bersih pula, kita akan memantau semula pembinaan 67 telaga tiub serta menambah lagi kemudahan itu di beberapa kawasan," katanya

Sumbangan untuk rakyat Afganistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://infaqpay.my/plus/care4afghan-mcm atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323 atau Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar di talian 0134886447 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 8:32 PM