Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. FOTO Mikail Ong
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. FOTO Mikail Ong
Hassan Omar


Melaka: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, hari ini menafikan mendesak tiga pemimpin parti itu meletak jawatan berikutan prestasi hambar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Dalam kenyataannya, Mohd Redzuan yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan berkata, kenyataan ditularkan melalui media sosial itu bersifat fitnah.

"Kenyataan berunsur fitnah itu adalah perbuatan pihak terdesak dan kecewa serta berniat jahat untuk memecah-belahkan kesatuan pimpinan Bersatu.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan kenyataan seumpama itu," katanya.

Berdasarkan kenyataan tular itu, Mohd Redzuan kononnya mendesak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin supaya meletak jawatan.

Selain itu, kenyataan berkenaan mendakwa, kekalahan teruk PN adalah petunjuk strategi membalas dendam tidak diterima rakyat dan kempen parti itu gagal serta memalukan.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, PN meletakkan 28 calon di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan 15 daripada mereka adalah daripada Bersatu manakala Pas (8) dan Gerakan (5).

Bagaimanapun, hanya dua calon PN iaitu Dr Mohd Aleef Yusof dan Dr Mohd Yadzil Yaakub, masing-masing calon Dun Sungai Udang dan Bemban mencapai kejayaan.

Selain itu, Mas Ermieyati yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri daripada PN gagal merampas kerusi Tanjung Bidara daripada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Barisan Nasional).

Mas Ermieyati memperoleh 3,195 undi manakala Ab Rauf mendapat 3,559 undi dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan mendapat 489 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:01 PM