Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan cubaan sindiket meludup tayar bernilai RM697,759 menerusi intipan di kawasan keluar masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama, pasukan polis daripada Unit Risik Marin, PPM Wilayah Dua menahan pemandu treler, 56, selepas mengekorinya.

Katanya, lelaki berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan keluar dari CIQ Bangunan Sultan Iskandar, sebelum ditahan di Plaza Tol Kempas, kira-kira 5.35 petang, 28 Oktober lalu.

"Susulan serbuan pertama, sepasukan anggota polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan seorang lelaki di Taman Sri Skudai, di sini, 6.05 petang, 29 Oktober lalu.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun adalah majikan kepada suspek tangkapan pertama, selain individu ini juga menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai masuk ke Malaysia dari Singapura.

AYOB Khan (kiri) menunjukkan barang rampasan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan (kiri) menunjukkan barang rampasan. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Sindiket itu beroperasi kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu, selain kita (polis) juga sedang berkolaborasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melihat dan mengesan dari awal mana-mana aktiviti penyeludupan menggunakan pintu masuk yang sah," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori mengisytiharkan tiada barang apabila keluar masuk Singapura dan mempunyai kad akses bagi melalui lorong khas.

Beliau berkata, siasatan susulan masih dijalankan untuk melihat di mana berlakunya kekurangan dan ketirisan khususnya di pintu masuk negara.

Katanya, keseluruhan rampasan termasuk 727 pelbagai saiz tayar dan treler bernilai RM847,759, selain kedua-dua individu sudah direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:59 PM