SUSPEK  (kanan) direman 11 hari oleh perintah mahkamah.
SUSPEK (kanan) direman 11 hari oleh perintah mahkamah.
MOHD Asri menunjukkan rokok seludup yang dirampas AKSEM.
MOHD Asri menunjukkan rokok seludup yang dirampas AKSEM.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Upah RM500 bagi satu perjalanan menyebabkan seorang lelaki yang membawa rokok seludup sanggup menggadaikan nyawa apabila memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dalam keadaan bahaya bagi melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan lelaki tempatan berusia 37 tahun itu gagal apabila Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan berjaya mengejarnya sejauh 30 kilometer (km) sebelum kenderaannya terbabas dan memasuki parit di Kampung Keting, Gunong, dekat Bachok, kelmarin.

Susulan itu, AKSEM merampas 2,250 karton rokok putih dan MPV itu dengan nilai keseluruhan lebih RM400,000.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi , pihaknya turut menahan lelaki terbabit yang mendakwa mengambil bekalan rokok dari Kuantan, Pahang.

“Kita sudah menjalankan siasatan kegiatan ini sejak seminggu lalu dan menerusi Ops Cantas yang dijalankan semalam (kelmarin), tiga anggota menemui MPV itu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota mengekorinya dari Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh sehingga Ke Kampung Keting, Gunong sejauh 30km sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam parit dan ditinggalkan.

“Suspek cuba melarikan diri sebelum ditahan 100 meter dari tempat kenderaannya terbabas,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mohd Asri berkata, siasatan mendapati MPV itu kereta klon berdasarkan nombor casis yang diubah suai dan pemeriksaan menemui rokok seludup jenama Saat bernilai RM200,000 dipercayai untuk pasaran kedai runcit di Gunong, Bachok dan kawasan sekitar.

Menurutnya, lelaki itu juga mengaku membawa bekalan rokok terbabit untuk diserahkan kepada individu lain di Bachok.

“Lelaki itu ditahan reman 11 hari bermula hari ini sehingga 16 November untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e), Akta Kastam 1967,” katanya.

Terdahulu, di Mahkamah Kota Bharu, di sini, Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri memerintahkan lelaki itu ditahan reman selama 11 hari bermula hari ini (semalam) sehingga 16 November ini.

Pada masa sama, Mohd Asri juga menafikan viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa berlaku tembakan sebelum suspek ditahan.

“Tidak ada apa-apa tembakan yang dilepaskan seperti didakwa orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 8:33 AM