EMPAT daripada tujuh individu yang diberkas polis. FOTO IHSAN POLIS
EMPAT daripada tujuh individu yang diberkas polis. FOTO IHSAN POLIS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sengaja tunjuk hebat dan aksi 'bunuh diri'. Itu antara tindakan tujuh samseng jalanan yang dikesan berlumba haram serta mempamerkan kaedah memandu kereta tidak berhemah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, semua individu terbabit yang dikesan menjadikan laluan antara Taman Matahari Heights menghala ke arah lampu isyarat Taman Seri Pagi, Jalan Persiaran Senawang 1, Senawang sebagai kawasan 'litar lumba' berjaya ditahan polis hasil operasi Ops Samseng Jalanan awal pagi semalam.

Menurutnya, operasi membabitkan Skuad 42 JSPT IPK Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

"Hasil operasi berkenaan, tujuh individu bersama tujuh kereta ditahan selepas melakukan kesalahan memandu secara melulu, berbahaya dan bersaing sesama sendiri.

"Mereka yang ditahan bekerja dalam sektor swasta sekitar daerah ini. Mereka memandu secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan sebanyak lima pusingan," katanya.

Shafiei berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut dan permohonan reman akan dibuat dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5, 000 dan tidak lebih daripada RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:37 PM