GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Lima lelaki ditahan selepas membuat kecoh dan bergaduh di perkarangan Balai Polis Luyang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 8.40 malam, seorang lelaki berusia 29 tahun sebelum itu dikatakan menemani isteri kepada salah seorang penyerang untuk membuat laporan polis akibat masalah peribadi.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tiba-tiba diserang oleh empat lelaki berusia 26 hingga 32 tahun sehingga terpaksa dilerai anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mengikut laporan, lelaki terbabit dikatakan meluru masuk ke kawasan balai polis selepas dikejar oleh beberapa lelaki.

Katanya, mangsa kemudian dibelasah empat lelaki sebelum dileraikan anggota polis dan mereka ditahan untuk siasatan.

"Hasil siasatan awal, kejadian berpunca apabila mangsa dikatakan menemani isteri kepada salah seorang penyerang membuat laporan polis kerana dihalau suaminya.

"Semua lelaki terbabit tidak akur dengan teguran anggota polis dan terus bergaduh di kawasan balai sebelum mereka ditahan selepas pergaduhan itu dileraikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kejadian tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dan semua lelaki terbabit didapati negatif dadah.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:39 PM