GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di Manggatal, di sini, cedera selepas dipercayai dibelasah sekumpulan rakan sekolahnya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan di pipi dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berpunca ketika mangsa mengangkat meja masuk ke dalam kelasnya.

Katanya, laluan mangsa bagaimanapun terhalang oleh sekumpulan pelajar yang sedang bergambar di lokasi terbabit.

"Mangsa dikatakan menjerit meminta laluan kepada kumpulan pelajar terbabit, namun tidak dipedulikan.

"Mangsa kemudiannya menjerit 'tepi-tepi' beberapa kali sebelum melanggar kumpulan pelajar terbabit menggunakan meja yang diangkat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, susulan itum seorang pelajar terus menolak mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dengan kumpulan pelajar terbabit.

Katanya, kejadian dilihat oleh seorang guru yang terus bertindak mengarahkan mereka untuk berhenti daripada bergaduh.

"Sekolah kemudiannya menghubungi ahli keluarga mangsa untuk memaklumkan kejadian sebelum ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, mengikut laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan pihaknya sudah menahan tiga daripada enam pelajar yang disyaki terbabit.

"Hasil siasatan mendapati, enam pelajar yang dikenal pasti memukul mangsa, seorang ditahan semalam dan dua lagi ditahan hari ini, manakala selebihnya yang masih bebas sedang dikesan.

"Seorang pelajar ditahan reman selama empat hari dan dua orang lagi akan diambil tindakan yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan siasat sepenuhnya supaya kes buli ini tidak menjadi budaya di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 8:41 PM