Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kira-kira 60 peratus warga emas yang berdaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selesai menerima dos pertama manakala selebihnya sudah diberi tarikh temu janji pada pertengahan bulan ini.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini seramai 2,256,257 juta warga emas sudah berdaftar untuk menerima vaksin.

"Daripada jumlah ini, seramai 855,124 individu sudah menerima dos pertama, manakala 436,244 sudah menerima janji temu mereka sehingga 15 Jun ini.

"Jadi daripada maklumat ini, hampir 60 peratus warga emas yang sudah berdaftar sama ada akan menerima dos pertama atau sudah menerima dos pertama pada pertengahan Jun ini," katanya dalam sidang media mingguan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata, peratusan jumlah kematian akibat Covid-19 merekodkan peningkatan sebanyak 42.1 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 iaitu dalam tempoh 31 Mei hingga 5 Jun lalu berbanding 641 kematian minggu sebelumnya.

"Dalam tempoh ME ke-22, sebanyak 92 purata kematian dilaporkan sehari dengan kadar kes kematian ialah 0.54 peratus sehingga 5 Jun lalu.

"Peningkatan kematian akibat Covid-19 terus direkodkan sejak 10 minggu lalu sejak ME ke-12," katanya.

ANGGOTA Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (PKD TL) memberi suntikan vaksin  terhadap penghuni di sebuah pusat penjagaan warga emas di Jelutong di sini. FOTO Danial Saad.
ANGGOTA Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (PKD TL) memberi suntikan vaksin terhadap penghuni di sebuah pusat penjagaan warga emas di Jelutong di sini. FOTO Danial Saad.

Katanya, turut merekodkan peningkatan pada ME ke-22 ialah kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 886 kes sehingga 5 Jun lalu.

"Purata kes ICU pada ME ke-22 ialah 871 iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus atau 114 berbanding ME ke-21," katanya.

Dr Adham turut mengesahkan, semua 'housemen' yang berada di tahap enam akan digerakkan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara untuk membantu negara mencapai sasaran pemberian 150,000 dos sehari.

"Begitu juga graduan perubatan termasuk doktor gigi, pembantu perubatan dan jururawat akan dihantar untuk menjalani latihan asas sebelum digerakkan ke PPV.

"Kami juga akan meminta doktor yang bersara atau mereka yang menamatkan perkhidmatan lebih awal untuk membantu negara dalam PICK ini," katanya.


Semalam, negara berjaya mencatatkan kadar vaksinasi harian tertinggi dengan 151,309 dos.

Ia sekali gus merealisasikan sasaran kerajaan untuk mencapai kadar suntikan vaksin Covid-19 sebanyak 150,000 dos sehari, selewat-lewatnya akhir bulan ini, sebelum ditingkatkan kepada 200,000 dos sehari menjelang hujung bulan depan.

Khairy dalam sidang media itu juga memberi jaminan kerajaan bekerja keras untuk memastikan pemberian 150,000 dos vaksin sehari dapat dicapai.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 5:40 PM