Kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Wan Nor Azirawati Ismail menyusun meja sebagai persiapan sesi persekolahan esok. Seramai sembilan pelajar dalam setiap kelas. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Wan Nor Azirawati Ismail menyusun meja sebagai persiapan sesi persekolahan esok. Seramai sembilan pelajar dalam setiap kelas. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PEJABAT Pendidikan Daerah (PPD) Pekan memberi jaminan bersedia sepenuhnya menerima 1,665 pelajar tingkatan lima dan enam di 16 sekolah menengah yang akan memulakan sesi persekolahan pasca Covid-19, esok.

Pegawainya, Mohd Razali Mustafar berkata, 16 sekolah menengah termasuk lapan sekolah berasrama terbabit dengan normal baru persekolahan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, semua pengetua sekolah diberi taklimat serta garis panduan pembukaan sekolah terutama membabitkan susun atur kelas, jumlah pelajar dan penjarakan sosial.

"Sekolah terbabit perlu menyediakan alat pengimbas suhu badan, pelitup muka dan pensanitasi tangan di beberapa lokasi utama pelajar seperti di kelas, asrama serta dewan makan termasuk kantin.

"Sekolah terbabit turut menyediakan pelan laluan pelajar di semua lokasi mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menumpukan kepada penjarakan sosial.

"Saya dan pegawai PPD Pekan sudah membuat pemeriksaan di 16 sekolah terbabit dan mendapati mereka mematuhi semua peraturan ditetapkan," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Pekan, semalam.

Beliau berkata, ketika program taklimat persiapan sesi persekolahan pihaknya turut menjemput pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan untuk memberi penerangan berkaitan langkah keselamatan pencegahan Covid-19 dan bahaya nyamuk Aedes.

Menurutnya, pihaknya juga turut membekalkan alat sanitasi kepada sekolah terbabit, demonstrasi sanitasi kendiri turut dilakukan pegawai Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 5:16 PM