PROF Datuk Dr M Nasir.
PROF Datuk Dr M Nasir.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Peruntukan disalurkan kerajaan dalam Bajet 2022 bersifat komprehensif dan membantu pemain industri pertanian di negara ini.

Profesor Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin berkata, antara yang memberi manfaat termasuklah Bantuan Musim Tengkujuh yang membantu meringankan beban sara hidup 320,000 pekebun kecil kehilangan pendapatan dan perlindungan kepada semua ahli Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara.

"Bantuan diberi itu tepat pada waktunya terutama dalam tempoh pandemik.

"Ada lagi peruntukan diberi kepada sektor lain namun pemain industri pertanian antaranya geran padanan automasi pintar.

"Ia satu inisiatif yang baik kerana kita memang mahu bergerak ke arah pertanian pintar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikatan yang akan diteruskan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion ringgit.

Ini termasuk RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta.

Selain itu, beliau mengumumkan insentif hasil tangkapan nelayan berjumlah RM150 juta serta insentif bagi meningkatkan bekalan makanan sebanyak RM120 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:00 PM