Mahani Ishak

Kuala Lumpur: Peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM4.79 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkasakan lagi sektor pertanian serta industri makanan negara yang berdepan kesan pandemik Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah yang diterima itu merangkumi perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.51 bilion.

Beliau berkata, MAFI akan memberi tumpuan kepada usaha memodenkan aspek pertanian dan perikanan yang menjadi fokus dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini dengan sektor pertanian diunjurkan menyumbang 4.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

"Peruntukan pembangunan diberikan juga lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada pembangunan sektor agromakanan sebagai sektor ekonomi yang penting negara sekali gus memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan serta usahawan tani terus dipelihara.

"Insentif dan bantuan itu antara lain akan meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa ini," katanya pada sidang media khas, semalam.

DR Ronald. FOTO Mohamad Shahril BADRI Saali
DR Ronald. FOTO Mohamad Shahril BADRI Saali

Katanya, pelbagai insentif dan bantuan yang diumumkan akan melonjakkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan selain meringankan beban rakyat dalam iklim ekonomi mencabar masa ini.

Ronald berkata, jumlah subsidi dan insentif diterima pada 2021 meningkat RM50 juta berbanding sebelum ini iaitu RM960 juta subsidi serta insentif tanaman padi termasuk RM40 juta subsidi baja padi bukit dan RM570 juta untuk insentif harga padi.

"Keseluruhan subsidi dan insentif bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, golongan nelayan akan menerima Elaun Sara Hidup Nelayan menerusi peruntukan RM30 juta, membabitkan peningkatan elaun daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi setiap nelayan.

Pertambahan itu katanya, akan memanfaatkan kira-kira 40,000 nelayan dan ini usaha kerajaan mengembalikan elaun yang sebelum ini dipotong.


Berhubung tujuh inisiatif utama MAFI menerusi peruntukan RM410 juta, Ronald berkata, pihaknya akan melaksanakan Program Kebun Komuniti atau Kebuniti menerusi peruntukan RM30 juta yang bakal memanfaatkan 60,000 peserta.

MAFI juga katanya akan memastikan Program Ladang e-Satelit dapat dijayakan dengan sebaik mungkin.

Untuk tujuan itu, pihak kementerian mendapat peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga maksimum RM30,000 bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 9:27 AM