FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yakin subsidi dan insentif kepada pesawah padi yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023 dapat membantu golongan itu mendepani cabaran ekonomi tahun hadapan.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob berkata, itu antara yang diharapkan pihaknya untuk membantu golongan pesawah.

"Ketika Mesyuarat Agung Tahunan Nafas baru-baru ini, saya turut menyuarakan hasrat kepada kerajaan supaya dapat mewujudkan semula bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada pesawah dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi.

"Justeru, apa yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 ini merealisasikan permintaan kami dan memahami keperluan pesawah," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Bajet 2023 memaklumkan bantuan kepada pesawah padi diperkenalkan semula tahun depan dengan memberi bantuan RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah membabitkan peruntukan sebanyak RM228 juta.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menyediakan pelbagai subsidi dan insentif merangkumi harga, baja, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan.

Susulan pengumuman itu, Zamri berkata, Nafas menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang akan disalurkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:31 PM