ALIASAK
ALIASAK
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Peruntukan besar berjumlah RM6.5 bilion untuk sektor pertanian dalam Bajet 2018 mampu meningkatkan pendapatan pengusaha sektor pertanian seperti petani, peladang dan pekebun kecil.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Datuk Aliasak Ambia berkata, nasib pekebun kecil akhirnya mendapat perhatian paling wajar oleh kerajaan menerusi peruntukan yang besar.

Menurutnya, pekebun kecil sebelum ini menghadapi masalah kekangan kewangan terutamanya apabila harga pembelian baja yang kian meningkat.

“Pekebun kecil dan peladang sebelum ini perlu menanggung kenaikan kos penanaman yang tinggi termasuk penjagaan tanaman itu sendiri. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu pendapatan golongan ini.

“Menerusi pengumuman Bajet 2018 dibuat Perdana Menteri, peruntukan insentif sebanyak RM2.3 bilion dalam pembelian baja dan input pengeluaran begitu melegakan.

“Peruntukan insentif ini sangat penting kerana kebanyakan pekebun kecil tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan hanya melaksanakan aktiviti pertanian secara persendirian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pengumuman itu adalah satu kelegaan kepada semua pengusaha sektor pertanian dan ini adalah peruntukan terbesar yang pernah diumumkan.

Katanya, bantuan peruntukan dan insentif daripada kerajaan ini secara tidak langsung akan memperbaiki taraf hidup pekebun kecil dan meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya percaya pengumuman itu bukan saja melegakan pekebun kecil tetapi semua pengusaha pertanian selepas kerajaan memperuntukkan jumlah bantuan yang besar,” katanya.

Menerusi pembentangan Bajet 2018 itu, kerajaan turut mengumumkan peruntukan hampir RM500 juta bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.

Kerajaan akan melaksanakan program penanaman semula getah dan kemudahan infrastruktur bagi meningkatkan pengeluaran getah dengan jumlah peruntukan hampir RM200 juta.

Aliasak berkata, langkah kerajaan untuk melaksanakan penanaman semula kelapa sawit termasuk getah adalah satu langkah bijak demi melestarikan tanaman berkenaan selain meningkatkan hasil pengeluaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:11 PM