GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jumlah kes Covid-19 di negara mencatatkan penurunan kepada 6,060 kes hari ini, berbanding 6,377 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan keseluruhan kes Covid-19 mencecah 2,460,809 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes harian yang direkodkan hari ini, sebanyak 105 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 5,955 kes (98.3 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

"Bilangan pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kini seramai 570 orang iaitu 492 disahkan Covid-19, 78 pula disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu, seramai 300 individu memerlukan alat bantuan pernafasan membabitkan 208 disahkan Covid-19 manakala 92 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 7,297 kes sembuh direkodkan mengatasi kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 2,361,919 kes iaitu 96.0 peratus daripada keseluruhan kes.

Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti 11 kluster baharu membabitkan empat kluster tempat kerja, masing-masing dua kluster pendidikan tinggi, pendidikan lain dan komuniti serta satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, pertambahan kluster baharu itu menjadikan keseluruhan 5,763 kluster sudah dilaporkan setakat ini, dengan 460 kluster masih aktif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:15 PM