Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 30,644 kes baharu Covid-19 semalam, menurun sedikit berbanding 32,070 kes yang dilaporkan kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kes positif kepada 3,367,871 kes.

Daripada keseluruhan kes harian yang dilaporkan, beliau berkata, 30,488 kes atau 99.49 peratus adalah kategori satu dan dua manakala hanya 0.51 peratus iaitu 156 kes kategori tiga hingga lima.

"Berdasarkan pecahan kes kategori tiga hingga lima, 33 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap manakala 77 kes menerima dua dos vaksin dan 46 kes sudah menerima dos penggalak.

"Selain itu, mereka yang berada dalam kategori berkenaan dalam kalangan yang berusia 60 tahun ke atas (78 kes), mempunyai komorbid (89 kes) dan ibu mengandung (dua kes)," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 332 kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 144 kes disahkan Covid-19 manakala 188 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Kata beliau, 196 kes yang memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 84 kes disahkan Covid-19 dan 112 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

"KKM turut merekodkan 22,678 kes pulih Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kes pulih kepada 3,040,850," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM juga mengesan lima kluster baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 6,767 kluster dengan 498 kluster masih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 1:11 PM