GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak sembilan kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan adalah 5,992 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 235 kluster masih aktif.

Dalam pada itu, beliau berkata, nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara masih berada di bawah paras 1.0 iaitu 0.99.

"Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.13 diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Perak masing-masing 1.00.

"Sarawak pula mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.74," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes harian Covid-19 di negara ini mencatatkan sedikit peningkatan dengan 4,965 kes dilaporkan hari ini, berbanding 4,262 kes semalam.

Katanya, pertambahan kes itu menjadikan kumulatif kes melonjak kepada 2,667,999 kes.

Menurutnya, sebanyak 98.1 peratus atau 4,869 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 1.9 peratus atau 96 kes kategori tiga hingga lima.

"Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan itu, sebanyak 29 kes import membabitkan 22 warganegara dan tujuh bukan warganegara.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah 437 kes membabitkan 375 kes disahkan Covid-19 manakala 62 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Terdapat 240 kes memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 167 kes disahkan Covid-19 dan 73 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:20 PM