Christina bersama anaknya.
Christina bersama anaknya.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Selepas menanti 15 tahun pasangan suami isteri, Christina Anak Kamarau, 35, dan Wat Anak Ubong, 42, akhirnya bergelar ibu bapa apabila dikurniakan cahaya mata perempuan pada 28 Julai lalu yang dinamakan Elora Melissa.

Bagaimanapun, pasangan itu diuji lagi apabila doktor mengesahkan Elora menghidap penyakit Coarctation of the Aorta (Co-Ao) atau masalah jantung tersumbat.

Berikutan itu, Elora yang kini mendapat rawatan di Gleneagles Hospital di sini perlu dibedah segera dengan kos pembedahan sebanyak RM50,000.

Keadaan itu menyebabkan Christina dan suaminya yang menetap di Jalan Sungai Tapang, Kuching, Sarawak runsing memikirkan soal dana yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa Elora.

"Saya suri rumah manakala suami bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM600 saja.

"Jumlah itu memang tidak cukup. Apa yang merisaukan kami kini adalah keadaan Elora dan bagaimana mencari wang bagi merawatnya," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Bercerita lanjut keadaan Elora, Christina berkata, anaknya itu dilahirkan pra matang pada usia 31 minggu secara pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, Sarawak.

Menurutnya, dia tidak mengalami masalah atau komplikasi ketika menghamilkan Elora dan hanya mengetahui anaknya itu mempunyai masalah jantung tersumbat selepas dilahirkan.

"Sejak dilahirkan sehingga kini Elora tidak pernah pulang ke rumah kerana perlukan rawatan serta pemantauan rapi di wad berikutan penyakit dihidapinya itu.

"Lebih sedih lagi apabila saya sendiri tidak dapat bertemu dengan Elora hampir dua bulan selepas melahirkannya dan hanya berpeluang memangkunya buat kali pertama dua minggu sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

"Itu pun kerana ketika itu perlu membawanya bertemu pakar dekat Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan yang kemudiannya mengesyorkan (Elora dirujuk) ke Gleneagles Hospital Kuala Lumpur," katanya yang sendiri ke Kuala Lumpur kerana suaminya bekerja dan perlu menjaga anak angkat mereka berusia hampir dua tahun.

Christina berkata, doktor memberitahu Elora ada peluang sembuh jika menjalani pembedahan segera.

Justeru, Christina merayu kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kerana mahu anaknya sihat dan menjalani kehidupan normal.

"Saya dan suami anggap apa yang berlaku ini sebagai ujian dan terimanya dengan rela hati. Namun, kami harap Elora sembuh dan membesar dengan sihat seperti anak lain. Diharap ada yang sudi menyumbang dan kami ucapkan terima kasih kepada semuanya termasuk doktor di atas kesungguhan merawat Elora," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (MAYBANK - 5141-0532-3170)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:15 PM