RACTNA Seridewie bersama anaknya, Awang Afiq Rayyan memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles.
RACTNA Seridewie bersama anaknya, Awang Afiq Rayyan memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles.
HM Digital

Kuala Lumpur: Dia bagaikan tidak percaya apabila doktor mengesahkan bayinya menghidap komplikasi jantung dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ibu muda, Ractna Seridewie Rahmat, 22, hanya mampu berdoa sebaik mengetahui keadaan anaknya, Awang Afiq Rayyan yang berusia sebulan menghidap masalah jantung selepas diletakkan di dalam inkubator dua hari berikutan bayinya kerap mengeluarkan kahak berdarah di mulut.

“Hasil pemeriksaan imbasan x-ray, doktor mengesahkan anak saya menghidap komplikasi jantung kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera di hospital pakar.

“Lebih menyedihkan, anak saya juga menghidap jantung berlubang yang menyukarkan dia untuk bernafas seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ractna yang menetap di Kuching, Sarawak, berkata, dia memerlukan RM40,000 bagi menampung kos pembedahan anaknya bagi mengelak keadaannya bertambah teruk.

“Sepanjang mengandung, saya sentiasa membuat ujian pemeriksaan secara berkala di hospital.

“Doktor sendiri tidak mengesyaki anak dalam kandungan mengalami sebarang masalah hingga dia dilahirkan.

“Saya buntu di mana mahu mencari wang bagi menanggung kos pembedahan anak yang tinggi berikutan suami hanya bekerja sebagai nelayan,” kata suri rumah itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh mengirimkan cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan meletakkan nama pesakit di belakang cek serta dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:20 AM