Kesan advers pada tempat suntikan seperti kemerahan, gatal-gatal, bengkak atau  kesakitan adalah lazim berlaku dan akan sembuh. - FOTO Hiasan
Kesan advers pada tempat suntikan seperti kemerahan, gatal-gatal, bengkak atau kesakitan adalah lazim berlaku dan akan sembuh. - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

IMUNISASI adalah proses pemberian vaksin kepada individu dengan tujuan membina perlindungan tubuh terhadap penyakit berjangkit.

Imunisasi adalah cara terbaik melindungi individu khususnya mereka yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah seperti bayi dan kanak-kanak.

Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950 an dan diberikan kepada semua kanak-kanak mengikut jadual yang ditetapkan.

Penyakit berjangkit berbahaya yang boleh dielakkan menerusi imunisasi adalah seperti difteria, kancing gigi (tetanus), batuk kokol (pertusis), jangkitan Haemophilus influenza jenis b, hepatitis B, demam campak, beguk, rubella, penyakit batuk kering yang teruk, polio, penyakit pneumokokal invasif, penyakit Japanese Encephalitis dan penyakit yang disebabkan oleh human papillomavirus (HPV) seperti kanser pada rahim.

Ibu bapa seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka dilindungi dan memastikan anak mereka menerima setiap vaksin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Ibu bapa juga perlu cakna mengenai informasi vaksin dan kemungkinan berlakunya kesan sampingan selepas suntikan yang berbeza bagi setiap individu.

Jadi, amat penting untuk ibu bapa memahami dan mengenal pasti setiap tindak balas yang dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak selepas mereka menerima suntikan vaksin.

Kesan advers  susulan imunisasi atau lebih sinonim dengan Adverse Events Following

Immunization (AEFls) adalah sebarang kesan advers yang dialami selepas suntikan vaksin dan tidak semestinya mempunyai kaitan dengan produk vaksin yang digunakan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan, AEFI kepada kesan advers disebabkan produk vaksin, kualiti vaksin, kesilapan proses imunisasi, kegelisahan semasa imunisasi dan kesan advers yang berlaku secara kebetulan. 

Siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas AEFI serius yang dilaporkan bagi menentukan sama ada AEFI yang berlaku adalah berkaitan dengan vaksin atau berlaku secara kebetulan sahaja.

Pengendalian kesan advers selepas imunisasi

Terdapat tiga langkah yang boleh digunakan bagi setiap ibu bapa untuk mengenal pasti dan mengendalikan keadaan anak selepas menerima suntikan vaksin.

Pantau keadaan anak selepas menerima suntikan vaksin. Kesan advers pada tempat suntikan seperti kemerahan, gatal, bengkak atau kesakitan sering berlaku dan lazimnya akan sembuh dalam masa beberapa hari selepas suntikan.

Paracetamol mungkin diperlukan jika bayi atau kanak-kanak mengalami demam yang tinggi, rasa sakit dan bengkak pada tempat suntikan selepas vaksinasi.

Namun, perlu diingatkan dos paracetamol bagi bayi dan kanak-kanak adalah 15 mg/kg, dan dos maksimum adalah sebanyak 60 mg/kg sehari.

Sekiranya anak mengalami kesan advers seperti alahan yang serius, demam berpanjangan atau ruam, segera bawa anak untuk pemeriksaan dan rawatan.

Selain itu, ibu bapa boleh menggunakan teknik sponging iaitu menekap tuala lembap pada badan untuk mengurangkan suhu badan yang tinggi.

Orang awam, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang mengalami sebarang kesan advers selepas imunisasi perlu melaporkannya dengan kadar segera. Ini termasuk sebarang kesan advers yang tidak tersenarai seperti di atas.

Penting bagi ibu bapa untuk melaporkan sebarang kejadian kesan advers bagi tujuan untuk memastikan bahawa sebarang isu keselamatan vaksin dapat dikesan, dinilai dan diambil tindakan dengan segera, sekiranya perlu.

Laporan berkaitan kesan advers imunisasi boleh dibuat dengan mengisi borang dan dikembalikan kepada fasiliti kesihatan terdekat. Ahli profesional kesihatan boleh membantu membuat laporan AEFI kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Selain itu, borang pelaporan AEFI juga boleh didapati dan dicetak dari laman web, Bahagian

Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau boleh dihantar terus secara dalam talian di laman sesawang www.npra.gov.my. (Pelaporan Kesan Sampingan Ubat untuk Pengguna > ConSERF Pelaporan atas Talian).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:35 PM