GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menyamar orang susah dan minta makanan sebelum menyamun mangsa.

Itu taktik dilakukan tiga individu didalangi seorang wanita yang menyasarkan kawasan kuil untuk melakukan jenayah mereka.

Bagaimanapun, aktiviti wanita bersama dua lelaki berusia 16 hingga 35 tahun itu tumpas apabila polis berjaya menahan mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga India berusia 51 tahun mendakwa disamun kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

"Lelaki itu berada dalam bilik di kawasan kuil Jalan Segambut di sini, sebelum didatangi seorang wanita meminta makanan.

"Mangsa membuka pintu dan dua lelaki masuk lalu memukulnya dengan kayu. Suspek melarikan sebentuk cincin emas, pasport, wang tunai RM500 dan dua telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Beh berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan menahan ketiga-tiga suspek di sekitar daerah ini pada 11 malam tadi.

Beliau berkata, polis merampas telefon bimbit, wang tunai RM100 dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.

"Hasil siasatan, kumpulan itu menggunakan modus operandi menyamar sebagai orang susah yang datang meminta makanan. Semasa urusan mendapatkan makanan, dua lagi suspek yang menunggu di luar kuil masuk dan memukul mangsa sebelum melarikan barang berharga.

"Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki atas kesalahan jenayah serta dadah," katanya.

Malah, katanya, salah seorang suspek juga disyaki ahli kumpulan pertubuhan tidak sah kerana mempunyai beberapa tatu di badan dan disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek kini direman lima hari sehingga 29 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:05 PM