Sebahagian daripada baju wanita dipercayai diseludup dari negara jiran yang dirampas.
Sebahagian daripada baju wanita dipercayai diseludup dari negara jiran yang dirampas.
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


Rantau Panjang: Sebanyak 969 helai pakaian wanita bernilai RM38,760 dipercayai diseludup ditemukan tersorok di belakang sebuah rumah di Kampung Che Da'ah, Gual Tok Deh, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA9) menyerbu kediaman terbabit sebelum menemui beberapa longgokan guni di lokasi terbabit.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika serbuan, tiada penghuni berada di dalam rumah berkenaan.

"Anggota menunggu lebih 10 minit, namun tiada pihak yang datang menuntut barangan berkenaan sebelum ia dibawa ke Komtak Taman Bakti bagi tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis pakaian wanita di dalam guni berkenaan disyaki dibawa melalui jalan tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua baju terbabit disyaki untuk pasaran di negeri ini kerana mendapat permintaan bukan sahaja dalam kalangan peniaga tempatan, malah peniaga dalam talian juga.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:41 PM