FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Sebanyak 20 ekor lembu yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran, dirampas sepasukan anggota Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Kampung Kubang Kual dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan dilakukan anggota 'Strike Force' PGA, yang membuat rondaan sempena Op Benteng Covid.

Menurutnya, ketika rondaan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni 'B' PGA9, terserempak dengan sebuah lori yang bertutup dengan kanvas dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 3.30 pagi.

"Anggota Strike Force kemudian menahan lori itu bersama pemandunya berusia 30-an untuk pemeriksaan.

"Hasilnya pemeriksaan mendapati terdapat 20 ekor lembu di bahagian belakang lori, dan pemandunya gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan berkaitan lembu yang dibawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lembu dan lori yang dirampas, dianggarkan bernilai RM230,000.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua lembu itu diseludup masuk dari Thailand melalui Sungai Golok, untuk pasaran tempatan.

"Pihak PGA9 kemudian menahan pemandu dan lori serta barang kes dibawa balik ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang, untuk tindakan selanjutnya.

"Kes diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan akan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Nor Azizan berkata, pihaknya percaya kesemua lembu yang dirampas dibawa lebih awal ke sini dan disembunyikan di kawasan semak.

Katanya, lembu itu biasanya akan dipindahkan ke lokasi lain dalam tempoh yang singkat, sebaik merasakan tiada halangan daripada pihak berkuasa seperti di awal pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 4:06 PM