KURA-KURA albino berkenaan. FOTO Ihsan PGA9
KURA-KURA albino berkenaan. FOTO Ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas ikan hiasan, ikan laga dan kura-kura albino bernilai RM90,200 yang dipercayai diseludup dari Thailand, di pangkalan haram Hassan Merah, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian 3 petang itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum terserempak kereta di parkir dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mendapati kereta tidak berkunci selain terdapat beberapa guni putih di bahagian tempat duduk belakang dan bonet kereta itu.

"Hasil pemeriksaan, kesemua guni berkenaan berisi 350 ikan hiasan jenis Mas Hitam, 545 ikan laga serta 20 kura-kura Albino.

"Anggota bertugas cuba mengesan pemilik kenderaan terbabit di sekitar pangkalan haram, namun gagal. Suspek dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Kesemua haiwan dirampas untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 9:40 AM