Mazlan Aliman.
Mazlan Aliman.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Aktifkan program sosial berbentuk kerohanian, kesukanan dan hiburan di kawasan setempat bagi menarik perhatian anak muda daripada terjebak dalam kancah gejala kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, peranan masyarakat dalam menghidupkan program sosial berkenaan di tempat masing-masing amat penting dalam membendung masalah gejala penyalahgunaan dadah di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

"Tidak guna sekadar beri nasihat, bagi saya, penting juga bagaimana kita hendak penuhi masa anak muda dengan aktiviti berfaedah yang dapat mengalih perhatian mereka daripada terjebak dengan perkara tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.

"Jadi masyarakat setempat perlu hidupkan dan aktifkan aktiviti sesuai seperti sosial atau sukan yang boleh disertai anak muda.

"Selain itu, kepekaan dan cara didikan ibu bapa di rumah juga antara aspek penting kerana ini juga mempengaruhi tingkah laku anak-anak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas isu penyalahgunaan dadah di Felda dengan terbaharu laporan akhbar ini semalam mendedahkan, penahanan dua suspek di Kuantan, Pahang yang dipercayai mendalangi pembekalan dadah ke Felda di negara ini.

Sebelum ini, polis berjaya memberkas 140 penagih dan pengedar dadah dalam Op Sarang Khas di beberapa kawasan Felda di sekitar Rompin bermula 11 hingga 16 Oktober lalu.

Mengulas lanjut isu itu katanya, masyarakat setempat juga perlu proaktif berganding bahu dengan pihak berkuasa membanteras gejala tidak sihat berkenaan.

"Kerjasama gerakan sukarelawan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga penting misalnya membuat sekatan dan rondaan secara bergilir-gilir pada waktu malam di kawasan masing-masing.

"Bagi saya jika amalan ini diperluaskan dan diteruskan di semua Felda, kadar jenayah dan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah ini dapat dikurangkan sepertimana Johor yang dulunya kes ini tinggi.

"Saya tiada angka tepat, namun berdasarkan pengalaman di kawasan saya di Johor, kita dapat buat perbandingan sesetengah Felda yang pernah menjadi 'black area' pada tahun 80-an hingga tahun 2000, kini nampaknya semakin berkurangan.

"Dulu kesan akibat penyalahgunaan dadah ini menyebabkan peningkatan kes pecah rumah kerana mereka terdesak hendak dapatkan duit, tetapi kini kadar kes ini di kebanyakan Felda semakin berkurangan seiring dengan pengurangan kes dadah," katanya.

Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah di kawasan Felda bukan perkara baharu sebaliknya ia muncul sejak tahun 80-an lagi, namun kini semakin membimbangkan dengan kemunculan dadah jenis 'ice' atau methamphetamine.

"Saya tidak hairan apabila pihak berkuasa menggempur kawasan Felda Pahang dan Negeri Sembilan dengan jumlah tangkapan yang agak ramai.

"Ini kerana dua negeri ini agak berbeza sedikit kerana kawasan Felda mereka dibuka pada tahun 70-an dan 80-an yang mana generasi kedua mereka ramai dalam lingkungan umur antara remaja ke 30-an.

"Inilah faktor menjadikan golongan anak muda di dua negeri ini sering menjadi sasaran utama kumpulan yang membawa masuk dadah.

"Tetapi gejala ini semakin berkurangan di sesetengah Felda, cuma kebimbangan kita ialah ancaman dadah baharu macam methamphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:09 PM