ZULKIFLI Abdullah (tengah) bergambar bersama artis dilantik menjadi ikon anti dadah di Ibu Pejabat AADK, Bangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
ZULKIFLI Abdullah (tengah) bergambar bersama artis dilantik menjadi ikon anti dadah di Ibu Pejabat AADK, Bangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN selebriti yang juga ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dilantik sebagai ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menyebarkan mesej berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya mengambil serius pelantikan ikon itu dengan pelaksanaan program bersama mereka untuk menyampaikan mesej mengenai bahaya dadah kepada masyarakat.

“Kerjasama ini mendapat sokongan kuat Seniman dan kami berharap lebih ramai artis menyokong usaha murni ini bagi menyelamatkan anak bangsa. Ini kerana kami sedar ada juga dalam kalangan ahli Seniman terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Menerusi kolaborasi ini, dapat dilihat kaedah lebih mantap membantu golongan sasar keluar daripada kebergantungan kepada dadah dan seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AADK dengan Seniman di Ibu Pejabat AADK, Bangi, hari ini.

Selebriti dilantik sebagai ikon AADK ialah Hanifah Md Hanafiah atau Black, Mohd Nasir Hamzah (Achey), Suriana Ab Wahab (Keena Mentor), Fatin Nur Afifah Shamsudin (Fatin Afeefa), Shah Indrawan Ismail (Tomok), Mohd Hazwan Harun (Izzmad Harun), Ismail Izzani Zainal Nazeri dan kumpulan Floor 88.

Terdahulum, MoU itu ditandatangani Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid yang mewakili AADK manakala Seniman diwakili Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah sambil disaksikan Zulkifli serta Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Md Kassim.

Zulkifli berkata, kerjasama dengan persatuan itu adalah signifikan kerana ia mempunyai 6,450 ahli terdiri daripada selebriti, penyanyi, pelawak dan pelakon.

“Apa yang penting, mereka mempunyai peminat yang ramai hingga mencapai jutaan pengikut di media sosial. Sudah tentu ramai dalam kalangan pengikut ini terdiri daripada generasi muda yang perlu kami dibimbing supaya tidak mudah terjebak dengan gejala dadah.

“Besar harapan saya untuk melihat kolobarasi dijalinkan hari ini akan memberi nafas baru dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda berhubung penyalahgunaan dadah,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memberi latihan dan pendedahan kepada ikon AADK dan artis bagi membantu agensi berkenaan menyampaikan maklumat kepada komuniti mengenai bahaya dadah menerusi program dianjurkan nanti.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya menyambut baik hasrat AADK menjalinkan kerjasama membanteras penyalahgunaan dadah bukan saja dalam kalangan masyarakat, malah membabitkan golongan selebriti.

“Kerjasama ini sudah lama dijalinkan, namun sebelum ini ia tidak begitu konsisten. Dengan perjanjian MoU ini, program dijalankan bersama akan lebih tersusun dan dilaksanakan secara terancang.

“Kami mahu masyarakat tahu Seniman juga membanteras dadah dan sebenarnya ramai dalam kalangan artis tidak terbabit dengan dadah. Kami berharap perlantikan ikon dalam kalangan selebriti mampu membanteras penyalahgunaan dadah menerusi kempen dijalankan di media sosial mereka yang mempunyai jutaan pengikut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:23 PM