NUR Diana ke Korea Selatan menaiki penerbangan Singapore Airlines 8.40 malam ini. FOTO Ihsan Nur Diana Abdul Rahim Lee
NUR Diana ke Korea Selatan menaiki penerbangan Singapore Airlines 8.40 malam ini. FOTO Ihsan Nur Diana Abdul Rahim Lee
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Sepang: Selepas menempuh pelbagai halangan, Nur Diana Abdul Rahim Lee akhirnya akan berlepas ke Korea Selatan dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada 8.40 malam ini.

Nur Diana, 46, bagaimanapun tidak ke Korea Selatan bersama adik tirinya, Rashidi Mat Nanyan, 36, seperti yang dirancang sebaliknya pergi sendiri hasil perbincangan dengan keluarga.

Biarpun berbelah bagi untuk pergi pada mulanya berikutan kegagalan mendapat pengecualian kuarantin, Nur Diana teruskan juga kerana niatnya adalah menyelesaikan urusan adik tirinya, Rozzana Mat Nanyan, 35, yang masih tidak sedarkan diri akibat diintubasi (ditidurkan) selepas dimasukkan ke di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Myongji pada 2 Oktober lalu.

Bercerita lanjut, Nur Diana berkata, dia tidak boleh menangguhkan lagi perancangan ke Korea Selatan kerana perlu ada di sana untuk menguruskan Rozzana jika dibenarkan pihak hospital.

"Selain itu, saya juga mahu bertemu dengan majikan Rozzana bagi mengetahui adakah adik saya berhak mendapat faedah pembiayaan kos perubatan atau perlindungan insurans daripada syarikat.

"Bagaimanapun, semua itu hanya boleh dilakukan selepas saya tamat menjalani kuarantin selama dua minggu yang diwajibkan sebaik tiba di sana (Korea Selatan).

"Ikut perancangan, saya dan Rashidi akan pergi bersama tetapi kos kuarantin di hotel untuk dua orang saja mencecah RM14,000 dan itu di luar kemampuan kami.

"Jadi, kami berbincang dengan keluarga dan akhirnya semua sepakat untuk saya pergi sendiri, lagipun Rozzana perempuan jadi lebih baik saya yang menguruskannya di sana.

"Saya juga bukan ke sana untuk tergesa-gesa membawa terus Rozzana pulang kerana segala-galanya bergantung dengan keadaan kesihatannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro selepas tiba di KLIA jam 4 petang tadi.

Menurut Nur Diana, dia terlebih dahulu menjalani ujian saringan Covid-19, RT-PCR sebelum membeli tiket penerbangan.

Katanya, pesawat dinaikinya nanti akan transit di Singapura kira-kira dua jam sebelum menyambung semula penerbangan dan dijangka tiba di Korea Selatan, 9 pagi esok.

"Saya berharap dan berdoa selamat tiba di Korea Selatan dan semua urusan sepanjang berada di sana dipermudahkan.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib Rozzana dan memberi sumbangan tidak lupa juga wakil rakyat serta pihak berwajib yang membantu.

"Hanya Allah saja dapat membalasnya cuma kami sekeluarga masih memerlukan doa dan sumbangan orang ramai memandangkan bil hospital akan terus meningkat dengan yang terbaru mencecah RM26,000.

"Keluarga juga sedang berusaha mendapatkan pelepasan kuarantin dan diharap pihak Kementerian Luar Negeri masih boleh membantu walaupun harapan agak tipis," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke ICU, Hospital Myongji, Korea Selatan akibat diserang asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan sejak hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Nur Diana di talian 011-70346900.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:54 PM