ROZZANA dimasukkan ke ICU Hospital Myongji, Korea Selatan sejak 2 Oktober lalu selepas diserang asma. FOTO Ihsan keluarga.
ROZZANA dimasukkan ke ICU Hospital Myongji, Korea Selatan sejak 2 Oktober lalu selepas diserang asma. FOTO Ihsan keluarga.
Redzuan Muharam


Pengerang: "Saya merayu kepada kerajaan untuk membantu mendapatkan pengecualian kuarantin supaya dapat segera bertemu dengan adik di sana (Korea Selatan) kerana ini soal hidup dan mati," luah Nur Diana Abdul Rahim Lee.

Nur Diana, 46, adalah kakak tiri kepada Rozzana Mat Nanyan, 35, yang masih tidak sedarkan diri selepas diintubasi (ditidurkan) sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan pada 2 Oktober lalu akibat serangan asma.

Menurut Nur Diana, permohonannya dan adik tiri iaitu abang kandung Rozzana, Rashidi Mat Nanyan, 36, untuk mendapatkan visa sudah diluluskan Kedutaan Besar Republik Korea, Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu.

Nur Diana berkata, dia dan Rashidi juga disahkan bebas Covid-19 hasil ujian saringan Covid-19, RT-PCR pada 13 Oktober dan sepatutnya sudah berlepas ke Korea Selatan.

"Saya dan Rashidi sudah sedia untuk ke sana (Korea Selatan) tetapi tidak mendapat pengecualian kuarantin wajib selama 14 hari di negara itu.

"Kami ada dihubungi pegawai khas Datuk Seri Azalina Othman Said (Ahli Parlimen Pengerang) yang sudah menghantar emel permohonan pengecualian kuarantin berserta alasan kepada kedutaan di Korea Selatan.

"Bagaimanapun, kedutaan di sana tetap dengan pendirian untuk tidak memberikan pengecualian kuarantin kerana kebenaran setakat ini hanya untuk melawat pasangan, ibu bapa atau anak, bukannya adik beradik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, tanpa pengecualian kuarantin, dia dan Rashidi terpaksa menunggu dua minggu sebelum dapat bertemu Rozzana.

Keadaan itu katanya akan membuatkan Rozzana ditidurkan lebih lama lagi manakala dia dan Rashidi perlu menanggung kos kuarantin dekat hotel di Korea Selatan yang dianggarkan berjumlah RM522 sehari.

"Bil hospital Rozzana juga pasti akan bertambah kerana maklumat saya terima ia sudah mencecah RM19,000 setakat 10 Oktober lalu. Ia belum termasuk kos rawatan yang belum dijalankan lagi.

"Memang keluarga ada terima sumbangan daripada orang ramai tetapi wang itu adalah untuk menampung kos rawatan Rozzana, bukannya bagi membayar caj saya dan Rashidi menginap di hotel untuk kuarantin," katanya.

Nur Diana berharap adiknya mendapat pembelaan dan dibantu supaya dapat segera pulang ke tanah air.

"Kalau boleh, saya tidak mahu adik ditidurkan lebih lama dan segera dibawa pulang ke sini. Lagipun, kedatangan saya ke sana bukan untuk makan angin tetapi untuk bertemu juga dengan majikan Rozzana bagi mendapatkan kepastian apa bentuk pertolongan boleh diberikan kepada adik selaku pekerjanya.

"Jadi, atas dasar kemanusiaan, saya harap kedutaan di sana mempertimbangkan permohonan kami," katanya.

Ahad minggu lalu, Harian Metro melaporkan luahan Nur Diana yang berharap supaya dapat membawa pulang Rozzana ke tanah air.

Ia berikutan dia serta keluarga bimbang dengan keadaan adiknya yang jauh di luar negara dan kemampuan menjelaskan kos rawatan sepanjang berada di hospital.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan sejak hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:17 PM