KALSOM Suleiman
KALSOM Suleiman
Redzuan Muharam


Johor Bahru: "Setiap hari saya berdoa minta dia sedar tetapi Allah lebih sayangkannya," luah Kalsom Suleiman.

Kalsom, 66, adalah ibu kepada Rozzana Mat Nanyan, 35, rakyat Malaysia yang meninggal dunia jam 9.46 pagi hari ini (waktu Malaysia) selepas lebih sebulan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Myongji, Korea Selatan.

Menurut Kalsom, dia menerima khabar duka itu daripada salah seorang anak yang tinggal dengannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini.

"Sedih sangat apabila terima berita itu, jiwa ini jadi tidak tentu arah kerana dia (Rozzana) jauh di sana.

"Ikhtiar dan berdoa macam mana sekalipun, Allah nak ambil dia. Nak buat macam mana? Sebagai orang Islam, kita perlu reda dengan ketentuanNya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kalsom berkata, dia juga akur apabila diberitahu yang jenazah Rozzana akan dikebumikan di Korea Selatan.

"Kalau boleh, saya memang hendak ke sana tetapi sudah tua dan tidak sihat.

"Buat apa bawa balik ke sini, tak baik kita seksa mayatnya kerana sudah lebih sebulan dia bertarung nyawa.

"Biarlah jenazahnya dikebumikan di sana, saya reda dan akan sentiasa berdoa semoga rohnya tenang serta dicucuri rahmat," katanya.

Kalsom menyifatkan Rozzana seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha menunaikan permintaannya.

Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan Rozzana menerusi panggilan video pada 1 Oktober lalu.

"Ketika itu, saya baru keluar daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas diserang angin ahmar ringan.

"Dia nampak gembira tetapi esoknya, hati saya tidak sedap kerana tidak terima panggilan daripadanya.

"Rupanya, Rozzana koma di hospital. Pada mulanya saya tidak tahu kerana anak yang lain rahsiakan perkara itu tetapi akhirnya mereka berterus terang juga.

"Saya memang berharap dia sembuh dan pulang ke sini tetapi sudah sampai ajalnya. Saya sudah ampunkan dosanya, halalkan susu dan makan minumnya," katanya.

Terdahulu, kakak tiri Rozzana, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, mengesahkan kematian adiknya itu menerusi hantaran di Facebook (Fb) hari ini kira-kira enam jam lalu.

Dalam hantaran berasingan, Nur Diana memaklumkan jenazah Rozzana akan dikebumikan di Korea Selatan.

Harian Metro cuba menghubungi Nur Diana menerusi WhatsApp bagi mendapatkan kepastian waktu pengebumian dan dimaklumkan ia akan diadakan pada Jumaat ini.

"Jumaat ini (pengebumian), saya kini sedang uruskan sijil kematian. Pihak kedutaan juga ada beri bantuan konsular," jawabnya ringkas.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya itu dimasukkan ke Hospital Myongji akibat serangan asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak diserang sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana, manakala Nur Diana berlepas ke negara berkenaan pada 21 Oktober lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang untuk mengurus Rozzana.

Dia bagaimanapun tidak bertemu terus dengan adiknya kerana dikehendaki menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dahulu di sebuah hotel dekat Seoul.

Turut dilapor rayuan bantuan oleh Nur Diana kepada rakyat Malaysia termasuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantunya sekeluarga membawa pulang Rozzana.

Rayuan itu mendapat perhatian usahawan pakaian dan kasut Muhammad Nor Khuzaifah Zohari, 32, yang mengadakan jualan amal di FB pada 13 November lalu dan turut disertai 30 peniaga pakaian dan kasut terpakai yang menetap di Korea Selatan.

Hasil jualan amal dan sumbangan pengikut usahawan itu mengumpul hampir RM112,000.

Berita berkaitan:

  • Rakyat Malaysia koma di Korea Selatan meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 5:45 PM