RASHIDI Mat Nanyan kini di Kedutaan Besar Republik Korea bagi menyelesaikan urusan permohonan visa untuk ke Korea Selatan.
RASHIDI Mat Nanyan kini di Kedutaan Besar Republik Korea bagi menyelesaikan urusan permohonan visa untuk ke Korea Selatan.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu dan mendoakan kami. Hanya Allah dapat membalasnya.

"Diharap urusan saya dan kakak untuk bertemu dengan Rozzana di sana (Korea Selatan) dipermudahkan," kata Rashidi Mat Nanyan.

Rashidi, 36 adalah abang kandung kepada Rozzana Mat Nanyan, 35, rakyat Malaysia yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan akibat serangan asma pada 2 Oktober lalu.

Rashidi dan kakak tirinya, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, ke Kedutaan Besar Republik Korea di Jalan Nipah, di sini, untuk sesi temu duga permohonan visa untuk ke Korea Selatan.

Menurut Rashidi, dia dan Nur Diana bertolak dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur awal pagi semalam bagi menyelesaikan urusan permohonan visa.

"Sejak semalam lagi kami cuba uruskan permohonan visa untuk ke Korea Selatan di sini (Kedutaan Besar Republik Korea).

"Hari ini, kami hadir lagi ke sini untuk sesi temu duga dan berharap permohonan visa untuk kami berdua diluluskan.

"Setakat ini, saya dimaklumkan kami berdua kemungkinan boleh ke sana jika visa diluluskan tetapi perlu ikut prosedur iaitu menghadiri temu duga dahulu.

"Moga urusan hari ini lancar kerana saya tidak rasa boleh pergi sendiri ke Korea Selatan tanpa kakak kerana perlu bantuannya di sana," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Rashidi, sejak kisah adiknya disiarkan di Harian Metro, dia dan kakak ada dihubungi Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi mengetahui perkembangan terkini.

Selain itu, Rashidi dimaklumkan yang Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi Kedutaan Malaysia di Seoul sedang berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana dan memantau keadaannya.

"Cuma, setakat ini, kami belum terima sebarang perkembangan terkini mengenai Rozzana daripada pihak hospital.

"Diharap, kedutaan Malaysia di Korea Selatan dapat membantu dalam memeriksa bil rawatan terkini.

"Ini kerana kami perlu menyediakan wang untuk menjelaskan bil rawatan Rozzana di hospital itu dan jujurnya masih perlukan sumbangan daripada orang ramai," katanya.

Ahad lalu, Harian Metro melaporkan luahan Nur Diana yang berharap supaya dapat membawa pulang Rozzana ke tanah air.

Ia berikutan dia serta keluarga bimbang dengan keadaan adiknya yang jauh di luar negara dan kemampuan menjelaskan kos rawatan sepanjang berada di hospital.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan sejak hari pertama dimasukkan ke hospital kerana diintubasi (ditidurkan) bagi mengelak terkena serangan sawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:17 PM