Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Semua kos rawatan rakyat Malaysia, Rozzana Mat Nanyan yang dirawat di Hospital Myongji, Korea Selatan akibat serangan asma sebelum meninggal dunia pada Rabu lalu, sudah diselesaikan.

Kakak tirinya, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, berkata, kos rawatan adiknya itu sudah diselesaikan menerusi tuntutan insurans.

"Kami menerima lebih RM170,000 sumbangan daripada rakyat Malaysia termasuk individu terdekat selain jualan amal yang dilakukan.

"Sebahagian sumbangan itu digunakan untuk urusan pengebumian semalam selain kos kenderaan dan kenduri (arwah)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Diana berkata, setakat ini, dia masih belum membuat semakan baki wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun bank selepas ditolak bagi urusan terbabit.

"Saya akan serahkan kepada ibu mengenai urusan baki wang sumbangan itu sebaik pulang ke tanah air nanti.

"Pada masa sama, saya ada memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai niat adik untuk menunaikan ibadah haji. Mungkin kami akan melaksanakan upah haji untuk adik," katanya.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan dan sumbangan yang dihulurkan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin dengan apa yang berlaku terhadap Rozzana selain atas sumbangan dihulurkan," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan jenazah Rozzana, 35, selamat dikebumikan di Jindalrae Memorial Park, Korea Selatan kira-kira jam 3 petang (waktu Korea Selatan).

Rozzana yang koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji meninggal dunia pada Rabu lalu, jam 9.46 pagi (waktu Malaysia).

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya itu dimasukkan ke Hospital Myongji akibat serangan asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak diserang sawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:17 PM