Rozzana sedang menerima rawatan di ICU Hospital Myongji, Korea Selatan. Foto Ihsan Nur Diana Abdul Rahim Lee
Rozzana sedang menerima rawatan di ICU Hospital Myongji, Korea Selatan. Foto Ihsan Nur Diana Abdul Rahim Lee
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Semalaman saya tidak boleh tidur memikirkan keadaan Rozzana. Saya merayu dan mohon bantuan orang ramai termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membantu kami sekeluarga untuk bawa pulang adik ke Malaysia," kata Nur Diana Abdul Rahim Lee.

Nur Diana, 46, yang juga kakak tiri kepada Rozzana Mat Nanyan, 35, rakyat Malaysia yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan.

Nur Diana dari Taman Bayu Damai, Pengerang di Johor berkata, keadaan Rozzana semakin kritikal dan doktor mengesyaki adiknya itu mengalami kerosakan otak akibat kerap diserang sawan.

Menurutnya, doktor mengesyorkan adiknya menjalani pembedahan segera namun dia dan keluarga berharap prosedur serta rawatan selanjutnya dapat dijalankan di Malaysia kerana khuatir bil hospital akan meningkat jika berada lebih lama di negara itu.

"Saya tamat kuarantin semalam dan berkesempatan ke hospital tengah hari (semalam) tetapi hanya dibenarkan melawat Rozzana untuk 10 minit saja.

"Dia (Rozzana) tidak sedarkan diri dan doktor beritahu keadaannya stabil beberapa hari lalu tetapi kritikal akibat serangan sawan di otak.

"Doktor tidak dapat kenal pasti punca sawan tetapi mengesyorkan pembedahan segera bagi membuang bahagian menjadi punca kekejangan namun ia agak berisiko kerana boleh menyebabkan kematian," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi panggilan WhatsApp.

Nur Diana berkata, doktor memaklumkan Rozzana tidak boleh disedarkan buat masa ini dan masih perlu menggunakan trakeostomi (tiub pernafasan) yang dihubungkan dengan mesin ventilator.

"Ikutkan keadaan Rozzana tidak stabil lagi tetapi kami sekeluarga terutama emak mahu adik dibawa pulang ke Malaysia menerusi penerbangan ambulans udara.

"Saya juga hanya dibenarkan melawatnya sekali saja dalam seminggu.

"Saya dan keluarga sudah semak kos pengangkutan ambulans udara tetapi terlalu mahal iaitu RM375,000 tidak termasuk caj pengusung sebanyak RM78,000.

"Kami pula tidak mampu biar adik terus dapat rawatan di sini kerana setakat semalam, bil hospital sudah mencecah 11,510,490 won (kira-kira RM40,425) kerana wang yang ada termasuk hasil sumbangan rakyat Malaysia hanya cukup untuk membayar bil berkenaan, itu pun jika tidak ditahan lebih lama lagi," katanya.

Nur Diana berkata, ikutkan hati, dia mahu merahsiakan keadaan Rozzana daripada pengetahuan ibu, Kalsom Suleiman,66 kerana enggan menambah kerisauannya.

"Bagaimanapun, adik-beradik lain nasihatkan saya untuk berterus-terang supaya emak tidak lebih terkejut nanti apabila mengetahui keadaan sebenar.

"Emak harap sangat adik dibawa pulang ke Malaysia kerana mahu doktor di sana (Malaysia) merawatnya. Saya juga yakin ada pakar di sana boleh beri rawatan terbaik buat Rozzana," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke Hospital Myongji selepas diserang asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober lalu iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.

Nur Diana pula berlepas ke Korea Selatan pada 21 Oktober lalu pada 8.40 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum transit di Singapura dan tiba di negara itu pada 9 pagi keesokan harinya.

Nur Diana bagaimanapun tidak dapat bertemu terus dengan Rozzana kerana dikehendaki menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dulu di sebuah hotel dekat Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 8:30 PM