RATUSAN bas ekpress sebuah syarikat tersadai berikutan tidak boleh beroperasi sejak 9 November lalu. FOTO ADNAN IBRAHIM
RATUSAN bas ekpress sebuah syarikat tersadai berikutan tidak boleh beroperasi sejak 9 November lalu. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: Kira-kira 90 peratus daripada 13 syarikat bas ekspres di negeri ini bakal gulung tikar berikutan tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan dan gagal membayar ansuran pinjaman.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Negeri Johor, Datuk Suchdav Jotisroop berkata, ia sekali gus menjejaskan kira-kira 2,000 pekerja apabila 600 hingga 700 bas tidak dapat beroperasi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, ini adalah kali ketiga pengusaha bas ekspres tidak boleh beroperasi secara total bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac hingga 3 Mei sebelum disambung dengan PKPB bermula 4 Mei hingga 9 Jun lalu.

"Walaupun dibenarkan beroperasi semula dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun namun kapasiti penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres hanya sekitar lima hingga tujuh orang untuk satu perjalanan.

"Keadaan ini menyebabkan semua syarikat bas ekspres di negeri ini hanya menggerakkan antara 20 hingga 30 peratus perkhidmatan mereka kerana tidak mahu terus menanggung beban kos operasi," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Suchdav, berikutan PKPB yang dilaksanakan bermula 9 November lalu, pihaknya sekali lagi memberhentikan perkhidmatan sehingga tamat pada 6 Disember ini.

"Setiap bulan semua syarikat bas ekspres perlu membayar ansuran pinjaman antara RM15,000 hingga RM20,000.

"Kami amat berharap kerajaan dapat membantu pengusaha untuk mengatasi masalah bayaran balik pinjaman bagi mengelakkan bas milik syarikat ditarik oleh institusi kewangan negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 2:35 PM