GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Secara purata bagi bayi yang lahir di negara ini pada 2023 dijangka hidup sehingga 74.8 tahun, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengeluarkan penerbitan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia, 2021-2023, hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, secara purata, kelahiran seorang bayi perempuan pada 2023 dijangka boleh hidup sehingga 77.4 tahun, lebih lama berbanding bayi lelaki pada 72.5 tahun.

Beliau berkata, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.

"Terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2021 hingga 2023 iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

"Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.5 tahun) manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).

"Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun) manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun)," katanya dalam penerbitan itu.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional.

Menurutnya, jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun).

Mohd Uzir berkata, bagi tempoh 2013 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.2 tahun dan perempuan, 0.5 tahun.

"Bagaimanapun, bagi tahun 2020 hingga 2022, jangkaan hayat ketika lahir menurun 0.9 tahun dengan jangkaan hayat ketika lahir bagi lelaki menurun 1.0 tahun manakala perempuan menurun 0.8 tahun.

"Pada 2023, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan 1.0 tahun berbanding 2022. Peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 telah bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, seorang lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi.

Ini bermakna, katanya, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup sehingga 73.3 tahun dan 68.3 tahun.

"Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun.

"Berdasarkan kumpulan etnik, Cina terus mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023 iaitu 77.0 tahun. Sebaliknya, jangkaan hayat ketika lahir terendah dicatatkan oleh India, 71.4 tahun pada tahun yang sama.

"DOSM sedang menjalankan Banci Ekonomi pada 2023. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden dalam memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan banci ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut,"katanya.

Menurutnya, DOSM sudah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

Katanya, OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.

Kerajaan Malaysia sudah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun. Tema sambutan MyStats Day adalah 'Statistik Nadi Kehidupan'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 9:55 PM