Petugas kesihatan memasukan vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer ke dalam picagari  sebelum memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium di sini. NSTP/DANIAL SAAD
Petugas kesihatan memasukan vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer ke dalam picagari sebelum memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium di sini. NSTP/DANIAL SAAD
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sehingga 16 Oktober 2021, sejumlah 25,079,220 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 91.5 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap.

Manakala, katanya, sebanyak 67.8 peratus daripada keseluruhan penduduk sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap.

"Berkenaan kapasiti hospital, KKM sudah memperuntukkan 29,809 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), 15,653 katil wad biasa, 1,400 katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 2,863 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit Covid-19, kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

"Penggunaan katil di PKRC dan wad serta alat bantuan pernafasan menunjukkan trend penurunan sekitar 1 hingga 3 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-41 berbanding ME ke-40," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, walaupun perkembangan Covid-19 semasa terus menunjukkan trend penurunan KKM mengingatkan masyarakat untuk kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin.

Katanya, setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan mereka, keluarga, dan masyarakat sekeliling.

"Inisiatif menjalankan ujian kendiri sangat digalakkan apabila seseorang individu bergejala dan/atau sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi melindungi orang lain di sekeliling.

"Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek). KKM juga akan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan lonjakan kes di masa hadapan.

"Antara lain adalah dengan menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasionalyang akan digerakkan ke negeri yang menghadapi lonjakan kes Covid-19," katanya.

Katanya, pasukan petugas itu akan menjalankan penilaian risiko dan mencadangkan strategi yang bersesuaian seperti penambahan kapasiti hospital, mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan, dan tindakan kesihatan awam yang bersesuaian di negeri atau kawasan terjejas.

Melalui kaedah itu, katanya, persediaan yang lebih pantas dan efisien dapat disediakan di kawasan yang sudah dikenal pasti dan seterusnya kes Covid-19 dapat dikawal daripada terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:08 PM