GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kes jangkitan Covid-19 di negara ini menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini, seperti negara lain di Asia Tenggara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, indikator minggu epidemiologi ke-42 (17 hingga 23 Oktober) menunjukkan penurunan sebanyak 20.7 peratus iaitu daripada 52,321 kes pada minggu sebelumnya kepada 41,508 kes.

"Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 21 peratus iaitu daripada 105,497 kes pada minggu sebelumnya kepada 83,605 kes.

"Manakala kes kematian pula menurun 16.4 peratus iaitu daripada 593 kes kepada 496 kes.

"Begitu juga kes rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 16.5 peratus iaitu 684 kes kepada 571 kes manakala kes memerlukan bantuan pernafasan menurun 14.4 peratus iaitu 292 kes kepada 250 ke," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan katil di wad biasa serta ICU menunjukkan tren penurunan sekitar empat hingga lapan peratus.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan 28,832 katil di PKRC, 15,241 katil wad biasa, 1,374 katil wad ICU dan 2,861 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit.

"Berdasarkan kapasiti penggunaan minggu epidemiologi ke-42, merekodkan penggunaan 6,533 katil wad biasa, 12,046 katil di PKRC dan 663 katil di ICU," katanya.

Katanya, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) kekal stabil sekitar 0.88.

Beliau juga memaklumkan, setakat kelmarin, sebanyak 94.5 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap manakala 72.4 peratus daripada keseluruhan penduduk menerima suntikan vaksin lengkap.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:03 PM