DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sebanyak 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19, ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,164 katil digunakan sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 berbanding minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak lima peratus.

"Selain itu, sebanyak 16,912 katil digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Ini adalah penurunan sebanyak tiga peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penggunaan katil ICU ketika ini adalah sebanyak 831 katil iaitu penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding ME ke-39.

"Sebanyak 1,267 alat bantuan pernafasan awam digunakan yang menyaksikan penurunan sebanyak tiga peratus daripada minggu sebelumnya," katanya.

Selaras dengan perkembangan positif itu, Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat supaya tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Kita wajar mengambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

"Justeru itu, melalui inisiatif 'reopening safely', semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.

"Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) terutama apabila sempadan negeri dibuka semula hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 9:53 PM