APMM menahan sebuah bot pukat tunda kelas B di perairan Pulau Pasir Hitam. FOTO Ihsan APMM
APMM menahan sebuah bot pukat tunda kelas B di perairan Pulau Pasir Hitam. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda kelas B dan merampas 50 set bubu naga di dua lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Pasir Hitam, di sini, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan ditahan kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 4.5 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam pada 8.30 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan bot dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 58 dan 69 tahun itu sedang melakukan aktiviti perikanan.

"Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen.

"Bot bersama kru dan hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dianggarkan 50 kilogram di bawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

50 set bubu naga yang dirampas.FOTO Ihsan APMM
50 set bubu naga yang dirampas.FOTO Ihsan APMM

Shahrizan berkata, pihaknya turut merampas 50 set bubu naga di sekitar perairan Pulau Pasir Hitam dalam operasi sama, sejam kemudian.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM6,000 itu di bawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:25 PM