APMM menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 21 kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 3.5 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, Lumut. FOTO ihsan APMM
APMM menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 21 kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 3.5 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, Lumut. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 21 kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 3.5 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, di sini, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan bot nelayan kelas C itu dilakukan anggota bot ronda APMM ketika penugasan operasi di perairan itu pada 8.50 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Batu Putih.

"Bot dikendalikan 21 kru yang terdiri daripada 19 warga Kemboja serta masing-masing seorang warga Thailand dan Vietnam berusia antara 19 hingga 70 tahun. Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan berkata, bot bersama kesemua warga asing itu dan hasil tangkapan dianggarkan 1,000 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 1:44 PM