Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kehadiran jemaah solat Jumaat dan fardu berjemaah di Sabah ditingkatkan kepada 50 peratus daripada kapasiti masjid dan surau dengan keutamaan kepada individu lengkap vaksin bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 berkaitan aktiviti masjid dan surau semalam.

Menurutnya, selain solat berjemaah, aktiviti lain seperti kuliah agama dan majlis akad nikah turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.

"Bagi solat Jumaat dan solat fardu berjemaah, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid atau surau adalah 50 peratus daripada kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan satu meter.

"Aktiviti masjid dan surau dibenarkan seperti kuliah maghrib, kuliah duha, kelas agama dan seumpamanya mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.

"Mesyuarat agung jawatankuasa masjid dan surau juga termasuk dalam kebenaran ini.

"Majlis akad nikah pula dibenarkan diadakan di dewan atau ruang khas masjid mengikut kapasiti dewan dan ruang khas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan kehadiran maksimum sehingga 300 jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid utama seluruh negeri.

Selain itu, Masidi berkata, pengurusan jenazah dan ziarah kubur juga dibenarkan namun terhad dengan kehadiran tidak lebih 30 orang.

"Umat Islam juga dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa bagi memutuskan penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:54 PM