Gambar daripada rakaman video menunjukkan OKU yang cedera dipukul dua lelaki berhampiran Komtar di Georgetown, baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video menunjukkan OKU yang cedera dipukul dua lelaki berhampiran Komtar di Georgetown, baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua lelaki yang juga penyelia pembersihan ditahan polis selepas disyaki memukul dua individu termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.

Difahamkan, kedua suspek itu juga didakwa sering memukul gelandangan dan peminta sedekah di sekitar kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa yang juga pengadu melihat dua suspek berkenaan memukul OKU berhampiran sebuah bank pada 2 petang, 6 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbitnya.

"Berang dengan rakaman itu, dua suspek terbabit bertindak memukul mangsa berkali-kali dengan menggunakan rotan hingga menyebabkan kecederaan di belakang badan, siku kanan dan betis kirinya.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian dan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), OKU terbabit pula tidak dapat dikesan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Soffian, susulan itu polis berjaya menahan suspek yang juga warga tempatan berusia 27 dan 43 tahun selain merampas dua bilah rotan dipercayai digunakan bagi memukul mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek itu sering dilihat memukul gelandangan di kawasan berkenaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif daripada pengambilan alkohol, manakala seorang daripadanya mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kedua sudah direman selama dua hari dan kertas siasatan akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang hingga memudaratkan orang lain serta mengikut lunas undang-undang dalam mencari penyelesaian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera menggunakan senjata.

Terdahulu, rakaman tiga video berdurasi 20 saat, 45 saat dan dua minit berkaitan kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan dakwaan mangsa dipukul beberapa individu di tempat awam.

Video itu turut memaparkan lelaki OKU memakai baju warna kuning mengalami kecederaan dan terdapat kesan darah di kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:36 PM