GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang gelandangan berusia 66 tahun yang patah kedua-dua kaki akibat kemalangan cedera di tumbuk beberapa kali di muka dalam cubaan samun di Jalan Lebuh Cina di sini, jam 9.30 pagi, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, penyerang gagal melarikan beg silang dibawanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, mangsa yang juga lelaki sedang berbual bersama rakan sebelum dihampiri suspek.

"Suspek terus menarik beg silang mangsa sebelum berlaku tolak menolak antara kedua-duanya. Suspek kemudiannya menumbuk muka mangsa berkali-kali sebelum melarikan diri.

"Suspek yang gagal melarikan beg silang mangsa melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakan lelakinya," katanya hari ini.

Menurut Soffian, susulan kejadian, pihaknya menahan seorang daripada suspek di Lorong Steward di sini, pada jam 10.30 pagi, hari yang sama.

Katanya, turut dirampas ialah motosikal yang digunakan suspek.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun itu didapati negatif dadah. Dia memiliki empat rekod lampau membabitkan jenayah dan lima lagi berkaitan dadah.

"Suspek pernah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana menghidap Tibi dan pendarahan dalam perut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengesan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:29 PM