GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menahan lelaki kerana dipercayai cuba memukul anak lelakinya berusia lapan tahun menggunakan penukul ketika mereka berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada 9 malam di Air Itam dan polis turut menyelamatkan anak lelaki itu yang berada bersama bapanya sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Polis menerima laporan daripada isteri lelaki itu yang berusia 37 tahun berhubung kejadian tersebut selepas wanita berkenaan menerima kiriman video daripada adiknya yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian lif sebuah perumahan di bandar berkenaan.

"Rakaman video itu menunjukkan suspek cuba memukul mangsa dengan menggunakan penukul ketika berada di dalam lif terbabit dan kanak-kanak lelaki tersebut dilihat berada dalam ketakutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah manakala satu lagi kes jenayah namun ujian awal air kencingnya mendapati negatif dadah.

"Lelaki itu direman bagi membantu siasatan lanjut kes itu menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 12:03 PM