GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Persatuan Pengusaha Bas Kelantan memohon kerajaan supaya menaikkan jumlah kapasiti penumpang, berbanding kini hanya 50 peratus dibenarkan.

Presidennya, Che Ibrahim Che Ismail, berkata syarat yang dikenakan terhadap kapasiti penumpang sekarang menyebabkan pengusaha bas yang sedia tertekan semakin terdesak.

"Kita sedar usaha kerajaan untuk mengurangkan kes Covid-19 selain memutuskan rangkaian wabak berkenaan. Namun pengusaha bas kini sudah lumpuh dan hanya beberapa bas sahaja mampu beroperasi sejak pandemik Covid-19.

"Syarat kerajaan yang hanya membenarkan 50 peratus penumpang bagi sebuah bas seolah-olah mahu melumpuhkan lagi operasi bas ekspres.

"Mana mungkin kita mampu memperoleh keuntungan sekiranya hanya 50 peratus penumpang dibenarkan dalam sebuah bas? Kenapa kami dikenakan syarat sedangkan syarikat penerbangan boleh memuatkan sehingga sebuah pesawat itu penuh?," katanya ketika dihubungi.

Che Ibrahim yang juga Pengusaha Konsortium E-Mutiara berkata, jika kapasiti penumpang dinaikkan, pengusaha bas berjanji penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami perlu membayar gaji ramai pekerja. Apa nasib mereka sekiranya perkhidmatan bas ekspres lumpuh sepenuhnya.

"Justeru, kita berharap kerajaan mendengar rintihan kami bagi membolehkan perkhidmatan bas ekspres berjalan seperti biasa walaupun hanya membabitkan beberapa buah bas sahaja," katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga berharap kerajaan melonggarkan pergerakan rentas negeri kepada individu yang selesai mendapatkan dua dos vaksin.

"Kenapa perlu lagi disekat pergerakan mereka sedangkan mereka sudah selesai mengambil suntikan vaksin dan semestinya kadar jangkitan terhadap mereka lebih rendah berbanding sebelum suntikan vaksin.

"Kita berharap golongan yang sudah selesai pengambilan vaksin dibenarkan rentas negeri dan menggunakan perkhidmatan bas ekspres tanpa surat kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 12:03 PM