Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sambutan terhadap pembelian tiket bas ekspres di negeri ini masih lembap walaupun rentas negeri sudah dibenarkan sejak Isnin lalu.

Pengusaha bas ekspres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, berkata, sejak penjualan tiket secara dalam talian dibuka Isnin lalu, sambutan pembelian tiket daripada pengguna yang membeli tiket basnya tidak sampai 10 orang.

Katanya, syarikat bas ekspres kecil sepertinya juga terpaksa berhadapan persaingan sengit daripada syarikat besar yang mampu menawarkan harga tiket lebih murah.

"Saya sebelum ini adalah pengusaha bas pesiaran bagi pelancong yang masuk dari Singapura, namun berikutan sempadan masih ditutup, saya terpaksa menukar tiga bas yang dimiliki sebagai bas ekspres.

"Saya mengeluarkan modal RM45,000 untuk menukar status tiga bas persiaran kepada ekspres termasuk belanja untuk mengecat semula bas, kos penyelenggaraan selain bayaran pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya yang menawarkan tiket laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur dan Johor Bahru-Klang.

Terdahulu, Mohd Faizal membawa bas ekspresnya untuk dicuci dan menjalani proses sanitasi di depoh bas di Larkin.

Menurut Mohd Faizal, sambutan sangat rendah kerana berkemungkinan orang ramai masih mengambil sikap berhati-hati.

"Saya harap sambutan pengguna akan meningkat menjelang hujung minggu atau minggu seterusnya," katanya.

Ahad lalu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap bagi melakukan pergerakan rentas negeri bermula Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia R Thiagarajan berkata, sambutan pengguna terhadap laluan bas ekspres ke selatan terutamanya Johor Bahru memang agak rendah sejak Isnin lalu.

Katanya, ia berbeza dengan laluan ke utara serta Pantai Timur yang dilaporkan mencatatkan penjualan tiket bas memberangsangkan.

"Mungkin jualan tiket bas ke selatan akan mula meningkat hujung minggu atau minggu-minggu selepas ini. Jika kekal suram, kemungkinannya pengguna masih berhati-hati atau menggunakan pengangkutan sendiri selain perkhidmatan udara.

"Pengguna mempunyai banyak pilihan termasuk memilih perkhidmatan yang menawarkan harga munasabah serta mampu milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:26 PM
Pengusaha bas ekpres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, menyembur cecair pembasmi kuman sebelum menerima penumpang dan memulakan perjalanan di depoh bas di Larkin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengusaha bas ekpres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, menyembur cecair pembasmi kuman sebelum menerima penumpang dan memulakan perjalanan di depoh bas di Larkin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN