DATUK Norhizam Hassan
DATUK Norhizam Hassan
Hassan Omar


Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mematikan telefon bimbitnya sejak malam tadi, dipercayai tidak mahu diganggu media.

Tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak mencalonkan beliau dalam mana-mana parti komponen PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Usaha menghubungi beliau tidak berhasil sejak malam tadi sejurus selepas kenyataan Majlis Presiden PH disiarkan kebanyakan media.

Selain itu, usaha mendapatkan ulasan beliau melalui aplikasi WhatsApp gagal.

Bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu sebelum ini menimbulkan kontroversi kerana enggan memulangkan kenderaan rasmi kerajaan negeri kerana mendakwa kerajaan sementara (caretaker) diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, polis merampas kereta Toyota Camry itu di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, di sini pada 12 Oktober lalu.

Norhizam adalah bekas pemimpin DAP yang bertanding atas tiket parti berkenaan, tetapi dengan menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menang dengan undi majoriti 2,756 selepas menewaskan Chua Lian Chye dari Barisan Nasional (BN) dan Ramli Dalip (PAS).

Bagaimanapun, beliau menjadi Adun Bebas dan memberi sokongan kepada Umno serta Perikatan Nasional (PN) hingga menyebabkan PH Melaka tumbang pada Mac 2020.

Turut keluar daripada PH ketika itu ialah Adun Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis, selain dua Adun Bersatu (ketika itu Bersatu adalah komponen PH), iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, pada 4 Oktober lalu, Norhizam menyertai bekas Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dari Umno dan BN; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) juga dari Umno dan BN serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dari Bersatu menarik sokongan kepada Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 4:59 PM